PMX Mahu Teruskan Usaha Islah Malaysia Berpandukan Strategi Rasulullah SAW

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 9:22 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

PMX Mahu Teruskan Usaha Islah Malaysia Berpandukan Strategi Rasulullah SAW

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan terus berusaha melakukan perubahan dan islah terhadap Malaysia dengan menjadikan strategi Rasulullah SAW dalam membangunkan pentadbiran di Madinah sebagai panduan.

Menurut Anwar, usaha membangunkan sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21 bukan sesuatu yang mudah, khususnya dalam berdepan pelbagai kemelut dan cabaran politik.

Namun, katanya, beliau akan terus berusaha melakukan yang terbaik demi Malaysia dan seluruh rakyat.

“Keperluan asas harus terjamin dan keamanan nyata amat penting. Iktikad ini menjadi syarat terjaminnya daruriyat dalam Maqasid Syariah seperti yang diungkap Muhammad Imarah.

Image from: PMX Mahu Teruskan Usaha Islah Malaysia Berpandukan Strategi Rasulullah SAW
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

“Di Madinatun Nabi yang serba rahmah itu, yang miskin dibantu, yang lemah disantuni, yang berbeza masing-masing diberi ruang.

“Amalan monopoli disingkir demi pemerataan ekonomi yang lebih saksama, sementara utusan dihantar keluar dengan mesej membina tatanan yang lebih aman dan adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Maulidur Rasul yang akan diraikan esok.

Dalam hantaran sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau sentiasa mendambakan yang terbaik buat seluruh rakyat serta berharap Allah SWT terus memberkati Malaysia.

Ujarnya, beliau turut berharap seluruh rakyat dikurniakan kasih sayang dan rezeki yang berkat.

Sementara itu, Anwar berkongsi mengenai sirah serta perit jerih Rasulullah SAW dalam membangunkan pentadbiran baharu di rantau Arab lebih 14 abad lalu.

Jelasnya, selepas usaha islah yang penuh penat lelah selama sedekad, Madinah berjaya dibangunkan dengan tatanan yang berteraskan keadilan dan ihsan.

“Pertembungan tajam Aus dan Khazraj yang sekian lama menggoncang Yathrib dilebur dalam semangat perpaduan Ansar demi kestabilan, menghapus curiga dan kegelisahan kaum yang menghambat kemajuan,” katanya.

Baca juga:

Menurut Anwar, pendekatan syariah turut berjaya mengubah sahsiah dan pemikiran masyarakat ketika itu menerusi kesedaran ketuhanan serta kematangan sosial.

Beliau berkata, nilai tersebut wajar menjadi renungan dalam usaha membangunkan Malaysia yang lebih aman, adil dan sejahtera.

Dalam hantaran berkenaan, Perdana Menteri turut berkongsi petikan daripada Surah Quraysh yang membawa maksud bahawa Allah SWT memberikan makanan bagi menghilangkan kelaparan serta mengamankan manusia daripada rasa ketakutan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved