PN boleh mohon injunksi halang penggantungan RoS

LocalPolitics
26 Sep 2026 • 8:42 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

PN

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) boleh memohon perintah injunksi sementara bagi menghalang pelaksanaan perintah penggantungan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), khususnya jika tindakan itu menjejaskan penyertaan gabungan berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang. 

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, permohonan itu boleh dibuat bersama tindakan semakan kehakiman bagi mencabar kesahan perintah penggantungan berkenaan.

Beliau berkata, langkah berkenaan boleh dipertimbangkan sekiranya PN berpandangan penggantungan tersebut tidak adil atau tidak berpandukan undang-undang sehingga menjejaskan perancangan politik gabungan itu.

“Kalau apa yang telah dirancang dan distrategikan oleh PN untuk PRN Melaka terjejas disebabkan perintah penggantungan sementara kerana mereka tidak boleh membuat aktiviti ceramah, tidak boleh meletakkan calon atas nama PN dan sebagainya, mereka berhak di bawah undang-undang untuk melantik peguam dan memfailkan tindakan di mahkamah.

“Sementara tindakan dibicarakan, mereka boleh memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang pelaksanaan perintah penggantungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, PN berdepan kemungkinan tidak dapat ber­tanding pada PRN Melaka susulan perintah penggantungan yang dikeluarkan RoS.

Perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa rabu lalu sehingga tempoh yang tidak ditetapkan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status gabungan itu untuk menyertai PRN Melaka yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, PN sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang susulan tindakan RoS yang menggantung semua ke­giatan gabungan itu.

Haniff berkata, permohonan injunksi itu bagaimanapun tidak bermakna PN secara automatik dibenarkan menyertai PRN Melaka kerana ia bergantung kepada keputusan mahkamah berdasarkan fakta dan hujah undang-undang yang dikemukakan kedua-dua pihak.

“Boleh failkan, tetapi dapat atau tidak kena tunggu mahkamah membuat keputusan tertakluk kepada fakta dan dasar undang-undang yang akan dirujuk oleh pihak PN mahupun RoS.

“Walaupun ada duluan, maksudnya undang-undang membenarkan kita memfailkan permohonan, tetapi sama ada mahkamah mahu membenarkan atau tidak tertakluk kepada fakta khusus, latar belakang dan prinsip undang-undang,” katanya.-UTUSAN

 

The post PN boleh mohon injunksi halang penggantungan RoS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved