
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera membuka siasatan menyeluruh, bebas serta telus berhubung dakwaan seorang Ahli Parlimen PKR menerima rasuah hampir RM10 juta.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menegaskan siasatan itu mesti dilakukan tanpa selindung bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
"Kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan memerangi rasuah serta salah guna kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
PN turut menggesa kerajaan, khususnya kepimpinan PKR, memberikan penjelasan segera kepada rakyat dan bekerjasama penuh dalam siasatan.
Dakwaan Victor Chin
Kelmarin, ahli perniagaan terpalit skandal "mafia korporat", Victor Chin atau nama sebenarnya Chin Boon Loong, mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai RM10 juta bagi menyelesaikan isu terbabit.
Victor melalui dokumen setebal 40 halaman memperincikan kronologi peristiwa, mendakwa beliau menyerahkan RM9.5 juta, namun baki RM500,000 tidak pernah diberikan kerana masalah berkenaan gagal diselesaikan.
Dakwaan mafia korporat itu dikaitkan dengan peranan pegawai kanan SPRM yang didakwa mengatur kempen intimidasi, memberi tekanan kepada eksekutif dan pemegang saham syarikat awam tersenarai untuk meletak jawatan atau menjual saham pada harga diskaun tinggi kepada rangkaian pesaing.
Pada 16 Mac lalu, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik Victor di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang.
Campur tangan politik dalam urusan korporat
Takiyuddin menegaskan identiti individu terbabit hanya boleh ditentukan melalui siasatan sah, bagi mengelak spekulasi yang menjejaskan reputasi pihak tidak bersalah.
"Jika benar, ia adalah pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus baik dan integriti yang selama ini dilaungkan kerajaan.
Ia juga berpotensi mencetuskan persepsi pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang," kata Setiausaha Agung PAS itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, dakwaan ini membimbangkan kerana bukan sahaja melibatkan jumlah wang besar, tetapi turut menimbulkan persoalan serius mengenai tadbir urus korporat, salah guna pengaruh politik dan integriti institusi negara.
PN akan bawa ke Parlimen
Takiyuddin menegaskan PN akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak teragak-agak membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti serta integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan.
"Integriti bukan sekadar slogan dan kata-kata mulut pemanis bicara, sebaliknya lebih daripada itu. Ia menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti konsisten dan berani," katanya. - 26 Mac, 2026
The post PN gesa siasatan segera skandal RM10 juta, PKR didesak beri penjelasan appeared first on Scoop.
