PN kembali fokus hadapi PRN Melaka

LocalPolitics
22 Oct 2026 • 5:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PN kembali fokus hadapi PRN Melaka

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) kembali menumpukan fokus menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonannya menggantung pelaksanaan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut mengukuhkan pendirian PN bahawa gabungan berkenaan berada pada landasan yang benar dalam mempertahankan haknya.

“Pendirian PN jelas. Kita berada pada landasan yang benar dalam mempertahankan hak melalui saluran undang-undang. Usaha pihak yang mahu memadamkan PN tidak akan mematahkan tekad kita. PN tetap teguh dan perjuangan ini akan diteruskan.

“Terima kasih kepada semua atas doa, sokongan dan kesabaran, serta pasukan peguam atas usaha gigih mereka. Kita terus menghormati proses undang-undang yang berjalan dan akan mempertahankan hak kita dengan tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hakim Datuk Azizan Md Arshad dilapor membuat keputusan tersebut selepas mendapati terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan penangguhan, khususnya mengambil kira kemungkinan kemudaratan terhadap aktiviti politik pemohon dan penyertaan mereka dalam sistem pilihan raya negara.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh lima pemohon, iaitu Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Sathes Kumar Nilamaham; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Datuk Sazmi Miah.

Dua responden pula ialah Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas lanjut, Samsuri berkata, seluruh jentera PN kini perlu memberikan tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi PRN Melaka.

“Kini, seluruh jentera mesti memberikan tumpuan penuh kepada PRN Melaka.

“Perkukuh persiapan, eratkan kerjasama dan bawa tawaran terbaik untuk rakyat. Kita terus mara,” katanya. – UTUSAN

The post PN kembali fokus hadapi PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved