PN masih bergolak? Mursyidul Am saran lebih baik PAS bergerak solo

LocalPolitics
30 Jan 2026 • 3:44 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyarankan agar parti itu mempertimbangkan untuk bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya konflik kepimpinan Perikatan Nasional (PN) terus berlarutan tanpa penyelesaian yang jelas.

Mursyidul Am PAS saran bergerak solo

Memetik laporan daripada Malaysiakini, Hashim menyatakan langkah tersebut dilihat lebih realistik sekiranya rundingan antara parti komponen gagal mencapai kata sepakat, selain diyakini mendapat sokongan ahli akar umbi PAS, khususnya di Perlis.

“Kalau masing-masing berkeras, kalau tak selesai (masalah), saya kata takkan nak biar, jadi baik bertanding secara solo. Bertanding dulu, selepas itu berdasarkan hasil (PRU), kita rundinglah tubuh kerajaan.
“Kita dah nak hadapi PRU, kalau selesaikan awal (konflik) baguslah,” katanya.

image is not available

Mursyidul Am enggan ulas calon pengerusi PN daripada PAS

Walau bagaimanapun Hashim enggan mengulas lanjut mengenai calon pengerusi PN daripada PAS dan menyerahkan perkara tersebut kepada PAS Pusat untuk diselesaikan.

“Itu biarlah, kita serah kepada PAS Pusat untuk selesaikan,” katanya.

image is not available

Kenyataan itu dibuat ketika hubungan antara PAS dan Bersatu dilihat masih tegang, khususnya membabitkan isu pelantikan pengerusi PN susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Sebelum ini, PAS menyatakan hasrat untuk menerajui PN dan mengambil alih jawatan pengerusi gabungan berkenaan, namun sehingga kini perkara tersebut masih belum dimuktamadkan.

Ketegangan itu semakin memuncak selepas sepucuk surat bertarikh 27 Januari yang bocor, memaparkan penjelasan Muhyiddin bahawa Bersatu dan PAS dikatakan sepakat untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula gabungan tersebut.

Dalam surat sama, Muhyiddin turut merujuk kepada satu ‘kesepakatan’ yang didakwa dicapai dalam pertemuan pada 16 Januari bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pimpinan PAS lain di kediamannya.

Namun, Abdul Hadi dalam surat yang didakwa sebagai jawapannya menafikan sebarang persetujuan dicapai berhubung cadangan itu dan menegaskan ia tidak pernah dibincangkan.

Malam tadi, pemimpin PAS turut dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat pramajlis melibatkan ketua-ketua parti PN yang diadakan di kediaman Muhyiddin.

Sumber: Malaysiakini (N Faizal Ghazali)