
Perikatan Nasional (PN) Perlis memberikan pengesahan bahawa kekosongan nama calon bagi kerusi Parlimen Arau (P003) adalah untuk memberi laluan kepada, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk bertanding bagi mewakili pakatan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lapor Astro Awani.
Shahidam Kassim merupakan penyandang bagi kerusi tersebut setelah memenanginya dalam PRU14 di atas tiket BN.
Menurut Pengerusi PN Negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, nama calon kerusi Parlimen Arau itu dikosongkan pada saat akhir kerana rundingan di peringkat Pusat dengan Shahidan masih belum mendapat kata putus lagi.
“Ya, memang ada membuat rundingan dengan beliau. Semuanya bermula apabila kami terserempak di lapangan terbang pada Isnin lepas.
Katanya lagi, rundingan berkenaan dibuat dengan Shahidan selepas terdapat khabar angin bahawa beliau mungkin tidak akan dicalonkan dalam PRU15 ini.
Memetik laporan Astro Awani lagi, Pengerusi PN Negeri ketika dihubungi Sinar Harian berkata mereka diperingkat negeri masih belum mengetahui apa keputusannya kerana perkara tersebut masih dalam perbincangan di ibu pejabat.
Mohd Shukri yang juga memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis berkata, pihak PAS sebelum ini telah menghantar nama calon untuk dipilih di peringkat Pusat bagi bertanding di kerusi Parlimen Arau pada PRU15.
“Kerusi Parlimen Arau ini adalah milik PAS. Sebelum ini, kita sudah hantar senarai nama yang sesuai untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau.
Namun begitu, mengambil kira situasi semasa, pihaknya akan memberi laluan kepada Shahidan memandangkan beliau merupakan calon boleh menang.
”Paling penting pada kami adalah memenangi sebanyak kerusi pada PRU15,” katanya.
Beliau juga percaya bahawa penyokong PAS di peringkat akar umbi akan menyokong keputusan ini kerana mereka merupakan ahli yang setia terhadap parti.
Selasa lepas, Shahidan mengatakan hasratnya yang tekad untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau, walaupun terpaksa menggunakan tiket parti lain selepas namanya digugurkan sebagai calon BN dan digantikan dengan Datuk Rozabil Abdul Rahman.
The post PN Perlis Sahkan Kekosongan Nama Calon Parlimen Arau Untuk Beri Laluan Shahidan Kassim Bertanding Wakili PN appeared first on Siakap Keli.
