PN Tak Nafi Kekuatan PN Kedah Bergantung Kepada PAS

Politics
25 Oct 2022 • 8:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
PN Kedah tidak menafikan kekuatan parti gabungan itu disumbang PAS. - Gambar Alif Omar

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) Kedah tidak menafikan kekuatan parti gabungan itu disumbang PAS yang bertapak lebih lama di negeri berkenaan, berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Penerangan BERSATU Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, justeru PN yakin peluang parti itu untuk menang di Kedah lebih cerah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ini mengambil kira prestasi PAS sebagai teraju kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memberangsangkan.

“Berlandaskan kajian dibuat, petunjuk positif dilihat menerusi sokongan rakyat, keyakinan itu juga mengambil kira peningkatan undi untuk PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor,” katanya menerusi laporan media  dikongsikan beliau di Facebook hari ini.

Khairul Anuar berkata, faktor dan trend sokongan rakyat terutama di Kedah di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah dilihat bersih, telus serta berintegriti.

“Tindakan beliau buat dalam pentadbiran juga mewujudkan keyakinan kepada masyarakat dan pelabur asing untuk masuk ke Kedah.

“Sebab itu kita tidak terkejut apabila Kedah pada tahun lalu adalah satu daripada negeri mencatatkan pertumbuhan dan jumlah kemasukan pelaburan tinggi, sehingga mencipta sejarah,” katanya.

Namun, beliau berkata, perlu diingat BERSATU adalah antara parti yang mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat dan membuat perubahan semasa PRU-14.

“Maknanya walaupun kita kecil, sokongan dan penerimaan rakyat di peringkat akar umbi terhadap BERSATU tidak boleh dipandang ringan.

“Ini dapat dilihat apabila Barisan Nasional (BN) menyasarkan serangan secara berterusan terhadap BERSATU, walaupun mereka menggambarkan kami ini hanya parti kecil,” katanya.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) bersedia menerima apa sahaja keputusan pimpinan gabungan parti itu, termasuk tidak bekerjasama dengan PH pada PRU-15.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya bersifat terbuka dan mengambil kira pendirian PAS sebagai parti komponen PN yang tidak mahu kerjasama dengan PH pada PRU-15. - Getaran 25 Oktober 2022