PN tuntut penjelasan RoS isu logo, dedah aduan Bersatu

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 3:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

PN

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) sudah mengutus surat kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mendapatkan penjelasan mengenai penggunaan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausahanya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN turut menuntut penjelasan dan butiran aduan yang dibuat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada gabungan berkenaan.

“Kita (PN) sudah menulis surat kepada RoS untuk meminta penjelasan sama ada PN masih boleh menggunakan logo gabungan itu atau sebaliknya.

“Kedua, kita meminta RoS memberikan butiran bentuk aduan yang dibuat oleh Bersatu terhadap PN,” katanya selepas menghadiri Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V Yang Ke-57 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ketika ini PN masih menunggu jawapan dan penjelasan lanjut daripada RoS berhubung perkara tersebut.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, pihaknya sedia menggunakan logo bulan termasuk lambang dacing atau lambang lain yang bersesuaian bagi menghadapi PRN Melaka sekiranya keadaan memerlukan.

Katanya, Pas kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk menentukan penggunaan logo berkenaan.

Pada 24 September, RoS dilapor menggantung semua kegiatan PN. RoS menerusi kenyataan memaklumkan, perintah penggantungan itu dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya. – UTUSAN

The post PN tuntut penjelasan RoS isu logo, dedah aduan Bersatu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved