PN umum calon PRN tiga negeri terakhir, PRK parlimen Kuala Terengganu

Politics
28 Jul 2023 • 7:47 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) malam ini mengumumkan calon di tiga negeri terakhir iaitu Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan yang akan berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

PN akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri berkenaan sepertimana di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang yang diumumkan semalam.

Di Terengganu Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Husain Awang mengumumkan 32 calon, terdiri daripada 27 calon PAS dan lima Bersatu.

Antara kerusi yang menjadi tumpuan ialah DUN Ru Rendang dan DUN Batu Buruk yang masing-masing akan dipertahankan dua penyandang iaitu Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Muhammad Khalil Abdul Hadi yang merupakan anak kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

PAS turut menampilkan seorang calon wanita iaitu Zuraida Md Noor (PAS) bagi kerusi DUN Ladang.

Selain itu, Husain turut mengumumkan Ketua Perhubungan PN Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim sebagai calon bagi kerusi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan berlangsung serentak dengan PRN pada 12 Ogos ini.

Menurutnya semua calon yang bertanding di PRN Terengganu akan menggunakan logo PAS.

Di Kelantan, Pengerusi PN negeri Datuk Ahmad Yakob mengumumkan 45 calon terdiri daripada 39 calon daripada PAS manakala enam lagi daripada Bersatu

Antara nama yang menjadi tumpuan adalah lima calon muka baharu daripada golongan profesional dalam bidang undang-undang iaitu Nik Asma’ Baharum Nik Abdullah bagi DUN Chempaka, Zameri Mat Nawang (DUN Jelawat), Zubir Abu Bakar (DUN Mengkebang), Ahmad Zakhran Mat Noor (DUN Kemuning) dan Wan Rohimi Wan Daud (DUN Melor).

Pada PRN kali ini, PN Kelantan mempertaruhkan seramai 23 muka baharu termasuk berlatar belakangkan akdemik dan ahli korporat, manakala dua calon wanita iaitu Rohani Ibrahim (DUN Tanjong Mas) dan Nor Asilah Mohamed Zin (DUN Limbongan)

Manakala di Negeri Sembilan, Pengerusi PN negeri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan 34 calon daripada keseluruhan 36 kerusi bagi gabungan berkenaan.

Antara nama yang menjadi tumpuan ialah bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Eddin Syazlee Shith yang dicalon bagi kerusi DUN Juasseh, dan calon bagi DUN Klawang iaitu Ketua Pemuda PN Negeri Sembilan Danni Rais.

Ahmad Faizal turut mengumumkan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha sebagai calon di DUN Pilah.

Beliau berkata dua DUN lagi tidak diumumkan adalah Jeram Padang dan Sri Tanjung yang akan diumumkan esok.-Bernama