Penduduk di sepanjang Sungai Golok kembali gelisah

9 Dec 2019 • 12:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

RANTAU PANJANG - Amaran gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku pada 25 dan 26 Disember ini membimbangkan penduduk di sepanjang Sungai Golok.

Mereka mendakwa, pembinaan benteng setinggi 1.5 meter oleh kerajaan Thailand yang lengkap dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) itu memberikan impak negatif di kawasan Rantau Panjang ketika banjir melanda kawasan itu baru-baru ini.

image is not available
Penduduk di Kampung Siram masih dihantui banjir termenung.

Penduduk di sekitar Meranti dan Gelang Mas di jajahan Pasir Mas turut mengakui menerima kesan buruk akibat limpahan 'luar biasa' air Sungai Golok.

Seorang penduduk, Kamilah Mohd Zin, 43, berkata, banjir mengambil masa antara satu hingga dua hari untuk melimpah ke kawasan Kampung Bakong walaupun air Sungai Golok berada pada paras bahaya.

"Bagaimanapun, pembinaan benteng hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk menenggelamkan kawasan kampung," katanya.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan penduduk kampung kelam-kabut dan tidak sempat menyelamatkan kelengkapan rumah.

image is not available
Mohd Zaid Mohd Zain,36, menyiapkan tempat tinggi untuk lembu peliharaannya bagi menghadapi gelombang kedua yang dipercayai lebih besar.

Sementara itu, Mat Aripin Mustafa 62, dari Kampung Gua Tok Deh, Rantau Panjang turut mengakui perkara sama dan banjir kali ini berlaku dalam sekelip mata.

"Pada tahun ini, buat kali pertama saya terpaksa berpindah pada jam 3 pagi ekoran air naik dengan begitu cepat," katanya.

image is not available
Beberapa laluan di dalam kampung di Meranti masih lagi digenangi air.

Mat Aripin berharap banjir buruk tidak berlaku sebagaimana yang diramalkan.

Sebelum ini, Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memberi amaran gelombang banjir kedua dijangka berlaku pada 25 dan 26 Disember dalam skala sama atau melebihi gelombang pertama.

Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, terdapat empat hingga enam luruan angin yang boleh berlaku.

Seandainya, hujan lebat berlaku pada 25 dan 26 Disember ini dikhuatiri berlaku pertembungan dengan air pasang besar di laut perairan Kelantan.

image is not available
Kamilah menunjukkan paras air banjir baru-baru ini yang disifatkannya lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, banjir yang berlaku itu diramal seperti tahun 2016 dan 2017 sahaja.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kampung di sepanjang sungai Golok dari Rantau Panjang sehingga ke Meranti mendapati penduduk masih dihantui 'banjir termenung' walaupun paras sungai sudah berada pada tahap berjaga-jaga iaitu 7.78 meter.