
KUALA LANGAT, 8 MEI: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menjayakan program memupuk budaya integriti dan menangani rasuah di Kampung Endah, dekat sini.
Ketua pegawai eksekutifnya berkata program dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan meningkatkan kesedaran bahaya rasuah dalam kalangan belia dan komuniti luar bandar.
Menurut Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, program dua hari mulai hari ini akan mendekati seramai mungkin penduduk termasuk pelajar dengan pelbagai pengisian secara dakwah dan hibur didik.

“Sebagai agensi pembangunan milik negeri, kami percaya integriti perlu dibentuk dari akar umbi. Program ini menyampaikan mesej rasuah bukan hanya tugas penguat kuasa sebaliknya tanggungjawab sosial yang perlu dikongsi bersama masyarakat.
“Program ini dapat memberi impak lebih mendalam apabila menggabungkan elemen pendidikan dan sosial yang dekat dengan komuniti,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.

Dalam majlis itu, EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah turut menyempurnakan wakalah agihan zakat PNSB dengan menyerahkan van jenazah kepada nazir Masjid At-Toyyibin, Shaffei Mohamed.
Raja Shahrir turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 50 asnaf selain menaja jersi untuk pasukan bola tampar Sekolah Kebangsaan (SK) Morib.
Program di sekolah terbabit melibatkan beberapa acara menarik antaranya aktiviti interaktif bersama maskot SPRM, Kapten MACC serta serahan sumbangan kepada pelajar asnaf.
The post PNSB, SPRM jayakan program pupuk budaya integriti, jauhi rasuah appeared first on Selangorkini.

