
HULU LANGAT, 14 OKT: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menyumbang 40 bakul makanan kepada keluarga kurang berkemampuan di Kampung Sungai Lui Batu 20 dan Kampung Kuala Pangsun, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata setiap bakul mengandungi barangan keperluas asas seperti beras, minyak masak, milo dan biskut dengan anggaran nilai RM150.
“Program Bantuan Integriti Makanan ini antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PNSB untuk mendekati masyarakat serta meringankan beban kurang berkemampuan.
“Pihak kami komited untuk terus melaksanakan program CSR atau program bersama masyarakat dari semasa ke semasa,” kata ditemui pada Program Perkhemahan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMARA) di Impian Rimba Resort, Pangsun, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya memperuntuk sejumlah RM15,000 bagi menjayakan program AMARA dalam usaha memupuk serta memperkukuh jati diri mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin masa depan negara.
Program AMARA dianjurkan bersama antara PNSB, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI serta Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam).
Selain menyebarkan mesej anti rasuah, peserta program terdiri 30 pemimpin mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) turut menjalankan program kemasyarakatan seperti membersihkan masjid dan kediaman penduduk.


The post PNSB sumbang bakul makanan, anjur program bersih masjid libat mahasiswa appeared first on Selangorkini.
