'Pok rindu abe'

1 May 2026 • 9:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Pok rindu abe'
Amirudin ketika menziarah keluarga mangsa di Bandar Puncak Alam pada Khamis.

KUALA SELANGOR - "Saya rapat dengan abe, memang pergi mana-mana selalu dengannya,".

Itu cerita Khaizalullinordin Nordin, 45, ayah kepada Khairil Izani, kanak-kanak yang ditemukan di tebing sungai di Sungai Buloh pada Khamis.

Beliau menyifatkan anak sulungnya yang mesra dipanggil abe sebagai seorang yang sangat rapat dengannya dan sering menemaninya ke mana sahaja.

"Dia memang rapat dengan saya, ke mana-mana saya pergi, selalunya dia akan ikut sekali.

"Sehinggakan isteri saya pernah cakap saya lebihkan dia," katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Bandar Puncak Alam di sini pada Khamis.

Katanya, anaknya itu juga merupakan seorang anak yang baik serta patuh kepada ibu dan bapa.

"Tidak pernah sekali pun dia melawan kata-kata saya dan isteri apatah lagi meninggikan suara.

"Saya saksi bahawa dia anak yang baik, doa saya dan isteri sentiasa mengiringinya hingga ke syurga," katanya.

Menurutnya, anaknya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cerakah.

"Saya berharap jenazah anak saya nanti dikebumikan di situ, saya kerap lalu di kawasan itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat membantu sepanjang operasi SAR dijalankan.

"Terima kasih kepada kerajaan, penduduk, rakyat Selangor, NGO dan semua pihak yang bantu.

"Sokongan moral sangat banyak, rakyat Selangor memang prihatin. Semoga Allah balas dengan rezeki yang melimpah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir menziarahi keluarga itu di kediaman mereka di Bandar Puncak Alam di sini.

 

 

View Original Article