Pokok Melunak gergasi usia 300 tahun tidak ditebang, masih utuh di Tasik Kenyir

LocalEnvironment
26 Apr 2026 • 2:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pokok Melunak gergasi usia 300 tahun tidak ditebang, masih utuh di Tasik Kenyir
Keadaan pokok Melunak yang masih utuh di sekitar Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - Foto: FB Razali Idris

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu mengesahkan bahawa pokok Melunak gergasi yang menjadi khazanah alam di sekitar Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu masih berada dalam keadaan utuh dan tidak ditebang seperti didakwa di media sosial sebelum ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, dakwaan yang mengatakan pokok tersebut telah ditebang hanyalah sekadar khabar angin tanpa sebarang pengesahan rasmi.

"Dakwaan pokok Melunak ditebang hanyalah cakap-cakap di media sosial dan tiada pengesahan rasmi, jadi kita berikan amaran awal mengenai perkara ini.

"Setakat ini, hanya satu pokok Melunak bersaiz besar dikenal pasti di kawasan tersebut yang dianggarkan berusia melebihi 300 tahun dengan ketinggian kira-kira 100 meter serta ukuran lilit 40 meter atau bersamaan 26 pemeluk dewasa," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, penjagaan pokok tersebut dilakukan secara ketat oleh Pejabat Hutan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menerusi pemantauan berkala bagi mengelak sebarang pencerobohan.

Dalam perkembangan sama, Razali memaklumkan KETENGAH kini dalam proses menyediakan Bill of Quantities (BQ) bagi kerja-kerja membaik pulih laluan Melunak Trail yang dikenal pasti mengalami kerosakan.

"Laluan tersebut boleh menjadi berisiko terutamanya pada musim tengkujuh kerana keadaan yang licin. Kita merancang untuk menaik taraf titi kayu kepada titi simen di kawasan yang kritikal demi keselamatan pengunjung," jelasnya.

Selain itu, katanya, kerja-kerja penambahbaikan kemudahan di kawasan Gua Bewah turut giat dijalankan merangkumi naik taraf tandas, papan tanda maklumat, pintu gerbang serta sistem pendawaian lampu solar.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu air keruh di kawasan Santuari Kelah yang dilaporkan sejak Khamis lalu, Razali berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk meneliti dakwaan yang mengaitkannya dengan aktiviti pembalakan.

“Siasatan bersama agensi berkaitan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar. Kerajaan negeri menegaskan sebarang aktiviti yang berpotensi menjejaskan ekosistem Tasik Kenyir akan dipantau secara ketat.

"Tindakan tegas akan diambil jika terdapat pelanggaran syarat terutamanya di kawasan sensitif seperti Santuari Kelah. Langkah mitigasi segera akan diambil bagi memastikan kualiti air dan habitat ikan kelah tidak terjejas," katanya lagi.

Tambah beliau, pemantauan kualiti air kini dipertingkatkan dan orang ramai akan dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan terkini di kawasan pelancongan tersebut.

View Original Article