
SIPITANG: Bomba menerima tujuh panggilan kecemasan berhubung pokok tumbang pada Selasa, dengan salah satunya menghempap sebuah rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Calvin Joe Jeafery berkata kejadian itu menyusuli angin kencang yang melanda daerah itu.
Dalam kejadian terkini, pokok tumbang menghempap sebuah rumah di Kampung Naparan menyebabkan hampir 50 peratus rumah itu musnah.
“Kejadian tersebut berlaku pada 8.08 malam, namun mujur tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya.
SPONSORED CONTENT Sinyi Group Founder, Chou Chun-Chi, Wins 2024 Asia Pacific Enterprise Award and Expands Sustainable Tourism Ventures in Sabah, Malaysia Kota Kinabalu: The 2024 Asia Pacific Enterprise Awards, hosted by Enterprise Asia, aims to recognize the most outstanding business leaders and organizations in the Asia-Pacific region. Read more Sebelum itu, bermula 3.19 petang Selasa, beliau berkata pihaknya menerima enam panggilan berturut-turut berkaitan pokok tumbang.
Lokasi kejadian adalah Kg Guruh-Guruh, Kg Sindumin Baru, Kg Pelakat, Batu 1 Jalan Pan Borneo, Kg Naluyan dan depan Pasar Am Sipitang.
Bomba menghantar beberapa jentera ke lokasi masing-masing untuk mengalihkan pokok yang menghalang jalan.
“Operasi tamat pada jam 7.22 malam,” katanya.
Beberapa kanopi perniagaan juga dilihat diterbangkan angin kencang di sekitar pekan Sipitang.
Sementara itu, di KUALA PENYU, laut bergelora akibat angin ribut menyebabkan banyak ikan terdampar di tepi pantai, berdekatan Pejabat Perikanan Kuala Penyu, pada Selasa.
Seorang penduduk, Khamis Ahmad berkata, banyak ikan khususnya ikan tamban dilihat terdampar di tembok tersebut.
“Keadaan ini telah menarik perhatian orang ramai, malah ada kalangan mereka yang berkesempatan mengutip ikan tersebut,” katanya.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 3.30 petang Selasa ketika angin kencang dan ombak besar berlaku di sekitar Kuala Penyu.
Sementara itu, pengguna jalan raya di Kayul berdekatan bulatan menuju ke Kuala Penyu, tersekat perjalanan mereka akibat talian kabel telefon yang rebah menghalang laluan.
Seorang pengguna, Jessica, berkata banyak kereta tersekat di jalan itu disebabkan kabel yang jatuh setelah terlepas dari tiangnya akibat angin kencang.
“Ini kerana kawasan tersebut agak gelap sehingga menyukarkan pengguna jalan melihat kabel yang berwarna hitam,” katanya.
Di TENOM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah menerima 11 panggilan pokok tumbang, berikutan angin kencang dan hujan lebat yang melanda daerah ini kira-kira jam 3 petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Mudi Pangiran ketika dihubungi berkata, panggilan itu melibatkan jalan raya dan salah satu pokok tumbang menimpa kenderaan.
Katanya, sebaik sahaja menerima panggilan, pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk penyelamatan dan pembersihan.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemantauan dibuat bersama jabatan dan agensi terlibat seperti Polis Diraja Malaysia PDRM, SESB, JPAM, badan JKKK kampung yang terlibat dan agensi berkaitan,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Tenom yang juga Pegawai Daerah Tenom Mas Syazwan Masood berkata, beberapa rumah di daerah itu rosak bumbung diterbangkan angin kencang.
Katanya, antara kawasan terlibat ialah Kampung Luang Pulong dan Baab, Kampung Jawa Sumbiling, Kampung Luang Pulong dan Pekan Tenom. Beberapa tiang telefon juga tercabut. Bumbung Balai Polis Tenom turut diterbangkan angin kencang.
Pengurus Besar SESB Tenom Mohd Das Risin dan Pengurus SESB Keningau Eric E. Dolinting mengesahkan gangguan bekalan di beberapa kawasan di kedua-dua daerah, selain Nabawan.
Di Nabawan, Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Peter Jiton mengesahkan setakat tengah hari Rabu, pihaknya menerima laporan JPAM mengatakan bumbung dua rumah diterbangkan angin.
Di Sook, bumbung beberapa rumah turut dilaporkan diterbangkan angin kencang, termasuk rumah Ketua Kampung Mapila KK Mandoi Tunon.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.




