Polis ambil keterangan Muhyiddin

LocalPolitics
21 Sep 2023 • 6:24 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengambil keterangan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berhubung kenyataannya yang didakwa berbau perkauman pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor baru-baru ini.

Keterangan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu diambil di pejabatnya di bangunan Lembaga Pembangunan dan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini pagi tadi.

Terdahulu Muhyiddin dilihat memasuki bangunan berkenaan pada 9.15 pagi dan meninggalkan bangunan itu pada 11.58 pagi hari ini.

Muhyiddin hanya tersenyum dan melambai tangan ketika ditanya pemberita yang berkumpul di bangunan itu sejak 9 pagi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilapor berkata siasatan berhubung perkara itu dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Pada 3 Sept, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa mengeluarkan kenyataan berkaitan orang Melayu akan hilang kuasa semasa ceramah kempen PRK DUN Simpang Jeram, Johor.

Sementara itu, Razarudin ketika dihubungi hari ini mengesahkan polis mengambil keterangan Muhyiddin berhubung perkara itu. -Bernama