KOTA KINABALU - Anggota polis akan ditempatkan di stesen minyak sebagai langkah memperluas penempatan secara statik penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membanteras ketirisan petrol dan diesel.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu.
Menurutnya, langkah berkenaan diambil bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan berikutan peningkatan risiko ketirisan bahan api susulan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.
"Sejak 20 Mac lalu, penguat kuasa KPDN telah ditempatkan secara berkala di stesen-stesen minyak di sekitar kawasan sempadan seluruh negara.
"Susulan daripada pembentangan laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), didapati wujud keperluan untuk memperluaskan liputan pemantauan statik ke seluruh stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) Santuni Komuniti @ Dapur Kita bersama KPDN di sini.
Armizan berkata, bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperlukan mengambil kira kekangan jumlah jentera penguatkuasa KPDN dan tuntutan keperluan pemantauan lebih terperinci status bekalan dan harga barang-barang di seluruh negara susulan konflik berkenaan.
"Krisis tenaga yang berlaku juga dilihat akan mendatangkan kesan terhadap rantaian bekalan makanan dan barangan, khususnya sumber import.
"Fasa pertama bermula 20 Mac hingga 10 April 2026, penempatan secara statik penguat kuasa KPDN telah dilaksana di 87 stesen minyak dan akan disusuli dengan 70 stesen tambahan dalam fasa dua bermula minggu depan yang akan melibatkan anggota polis.
"Kita akan terus memantau risiko dan keperluan peluasan lebih menyeluruh dari semasa ke semasa," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk melibatkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam inisiatif berkenaan.
"Saya telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri untuk mempertimbangkan keperluan penglibatan sukarelawan Rela dalam proses pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak ini," katanya.


