Polis bebas bertindak isu 3R tanpa pengaruh parti politik

7 Sep 2023 • 5:25 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terikat di bawah kuasa ahli politik terutama melibatkan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Beliau berkata PDRM tidak hanya mengambil tindakan terhadap ahli politik, malah siasatan turut dilakukan terhadap orang awam jika mereka menyentuh berkenaan isu 3R.

“Sebagai contoh, kes fitnah terhadap Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), kami tangkap suspek yang merupakan orang awam pada tengah malam dan untuk mengatakan polis telah ‘dicucuk hidung’ ahli politik itu tidak patut.

“Isu 3R ini merupakan satu isu yang sensitif dan ia tidak mengira parti politik mana yang memerintah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Simposium Forensik Kebangsaan kali ke-4 2023 di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.

Razarudin berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan sesetengah pihak menerusi media sosial berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata PDRM turut mengambil tindakan tegas berkaitan isu 3R ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Kami akan mengambil tindakan yang serius terutamanya yang melibatkan institusi diraja. Kita tidak mahu sembilan Raja Melayu di negara kita dihina, dikutuk atau difitnah,” katanya.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved