Polis berkas 'ibu ayam', selamatkan wanita dan budak perempuan dilacurkan

23 Feb 2024 • 12:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bilik yang digunakan untuk aktiviti pelacuran di sebuah premis di Banting, digempur polis pada Khamis. (Gambar kecil: Ahmad Ridhwan)

image is not available
Polis menyoal siasat wanita disyaki ibu ayam yang ditahan dalam serbuan di Banting, pada Khamis.

BANTING - Polis menyelamatkan seorang wanita dan kanak-kanak perempuan disyaki dieksploitasi sebagai pekerja seks di sini, pada Khamis.

Serbuan di sebuah premis kira-kira jam 3 petang itu dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, serbuan terbabit berjaya menahan seorang wanita tempatan yang berperanan sebagai 'ibu ayam' dan dua wanita warga Indonesia disyaki pelacur turut diberkas.

"Polis kemudian berjaya menyelamatkan seorang wanita tempatan berusia 25 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun disyaki dipaksa melacur.

"Polis turut menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun serta bayi lelaki berusia 11 bulan," katanya pada Jumaat.

**media[2548039]**

Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi terbabit dipercayai anak kepada wanita berusia 25 tahun terbabit manakala dua lagi kanak-kanak masih dalam siasatan status mereka.

Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati premis lot kedai itu telah diubah suai kepada empat bilik menggunakan langsir bagi aktiviti pelacuran.

"Kegiatan terbabit telah aktif sejak dua bulan lalu dengan sasaran dalam kalangan warga asing sebagai pelanggan," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.