Polis Brazil siasat ejen AS, Argentina, Israel bantu Bolsonaro larikan diri

8 Nov 2026 • 2:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis Brazil siasat ejen AS, Argentina, Israel bantu Bolsonaro larikan diri

BRASILIA: Pihak polis Brazil kini sedang menjalankan siasatan mendalam berhubung kemungkinan wujudnya rangkaian ejen dari Amerika Syarikat (AS), Argentina dan Israel yang didakwa membantu bekas calon presiden, Flavio Bolsonaro melarikan diri dari negara itu selepas kekalahannya dalam pilihan raya.

Laporan akhbar The Washington Post yang memetik kenyataan pegawai kanan Brazil mendedahkan bahawa seorang bekas ejen perkhidmatan risikan Israel, Mossad telah dikesan mengekori van yang membawa Bolsonaro menuju ke sempadan Argentina.

Bolsonaro, yang tewas kepada penyandang jawatan presiden, Luiz Inacio Lula da Silva dalam pusingan penentuan presiden, bagaimanapun enggan memperincikan perjalanannya sewaktu diwawancara oleh akhbar terbabit.

“Saya tidak akan sama sekali bercakap mengenai laluan yang saya lalui,” katanya yang turut menolak untuk mengesahkan atau menafikan sama ada pegawai AS ada membantu pergerakannya keluar dari Brazil.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menyangkal sebarang spekulasi mengenai pembabitan Washington dengan menegaskan bahawa pentadbiran AS tidak terlibat secara langsung dalam mana-mana pergerakan yang berlaku.

Bolsonaro menjelaskan bahawa beliau mengambil keputusan untuk mencari perlindungan di AS kerana beranggapan institusi demokrasi di Brazil tidak lagi berfungsi secara adil dan beliau berdepan risiko ditahan hanya kerana menyuarakan pandangan politiknya.

“Institusi di AS masih berfungsi dengan baik, manakala di Brazil, ia tidak lagi beroperasi seperti sediakala,” katanya sambil mendakwa bahawa Presiden AS, Donald Trump, turut berkongsi pandangan sama berhubung situasi politik terkini di Brazil. 

Bolsonaro  berterusan mempertikaikan ketelusan keputusan pilihan raya tanpa mengemukakan bukti kukuh, turut mencabar penilaian pihak berkuasa pilihan raya yang mengesahkan bahawa proses pengundian berjalan secara adil.

“Tiada siapa, termasuk saya, anda mahupun Pengerusi Mahkamah Tinggi Pilihan Raya yang boleh menyatakan dengan kepastian 100 peratus bahawa tiada penipuan berlaku,” tambah beliau lagi.

Beliau turut mendedahkan bahawa bapanya, bekas Presiden Jair Bolsonaro berada dalam ketakutan selepas Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes mengarahkan penyerahan pasport berikutan siasatan kes pengubahan wang haram,

Bapanya itu telah dijatuhi hukuman penjara 27 tahun atas percubaan merampas kuasa. – AGENSI

 

The post Polis Brazil siasat ejen AS, Argentina, Israel bantu Bolsonaro larikan diri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved