Polis buka siasatan kes tahanan reman lari, siasat kelemahan SOP

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 1:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shazeli

SHAH ALAM – Polis membuka kertas siasatan bagi memastikan sebarang kelemahan serta ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam kejadian melibatkan seorang tahanan reman warga Pakistan yang dilaporkan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan dijalankan bagi meneliti sekiranya wujud unsur kecuaian atau pelanggaran SOP sepanjang insiden tersebut.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis akan meneliti sebarang kelemahan atau kecuaian, dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat keterangan mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Beliau berkata bahawa usaha mengesan tahanan terbabit masih giat dijalankan dengan kekuatan pasukan yang dipertingkatkan.

“Operasi mengesan masih diteruskan dan kita percaya suspek masih berada di sekitar Sungai Buloh,” katanya.

Shazeli berkata, operasi bersepadu itu melibatkan pelbagai elemen termasuk Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara serta unit lain.

“Ramai anggota terlibat dalam operasi ini, namun saya tidak dapat dedahkan kekuatan sebenar kerana ia melibatkan taktikal pihak polis,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa pelbagai pihak telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Kita telah mengambil keterangan daripada pihak polis, Jabatan Penjara serta tahanan lain yang menjadi saksi dalam kejadian ini.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berkaitan insiden berkenaan. Bagaimanapun, terdapat individu tertentu yang telah dihadkan kepada tugas tidak aktif sementara siasatan dijalankan,” jelasnya.

Beliau berkata, siasatan masih di peringkat awal dan pihaknya tidak dapat mengulas lanjut beberapa perkara bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi.

“Polis percaya tahanan terbabit belum berhubung dengan mana-mana pihak luar.

“Kita percaya usaha pihak polis berjaya menghalang sebarang bentuk komunikasi suspek dengan rakan-rakan lain setakat ini,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa tahanan terbabit masih dipercayai berada dalam negara.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya sedang giat meneruskan usaha memburu dan menjejaki lelaki berkenaan dengan skop pencarian masih tertumpu dalam negara.

Media sebelum ini melaporkan bahawa polis telah memperhebat operasi memburu dan menjejaki tahanan reman berusia 24 tahun itu.

Tahanan itu ialah Muhammad Hassan yang menghadapi beberapa pertuduhan termasuk kes seksual di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak selain Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.