Polis Buru Geng Curi Kabel Guna 3 BMW Di TTDI [Video]

9 Jun 2026 • 1:11 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Polis Buru Geng Curi Kabel Guna 3 BMW Di TTDI [Video]

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang giat mengesan sekumpulan individu yang disyaki mencuri kabel utiliti Telekom Malaysia (TM) menggunakan tiga buah kereta mewah jenis BMW di Jalan Dato Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Kejadian dilaporkan berlaku awal pagi semalam (8 Jun), jam 4.30 pagi.

Suspek Larikan Diri Naik BMW Selepas ‘Kantoi’ Dengan Orang Awam

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, pihaknya menerima laporan daripada TM berhubung insiden tersebut selepas video kes kecurian itu tular di laman media sosial.

“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 4.30 pagi. Seorang saksi yang sedang menjalankan kerja berkaitan topografi ternampak lima lelaki yang tidak dikenal pasti sedang menarik keluar kabel milik TM.

“Saksi menegur kumpulan berkenaan sebelum mereka bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menggunakan tiga buah kenderaan BMW, iaitu dua berwarna putih dan satu berwarna hitam,” katanya, lapor Harian Metro.

View on Threads

TM Rugi RM20,000 Akibat Kecurian Kabel

Dalam pada itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadi turut mengesahkan seramai lima orang suspek lelaki telah terlibat dalam insiden kecurian kabel menggunakan tiga kenderaan jenis sedan, BMW.

Mengulas mengenai kabel yang lesap, pihak TM menganggarkan kerugian mencecah sebanyak kira-kira RM20,000.

Hubungi Polis Jika Ada Sebarang Maklumat Mengenai Kes Curi Kabel Di TTDI

Susulan itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bagi membantu siasatan.

Suspek Curi Kabel Larikan Diri Selepas Kantoi & Diterjah Orang Awam

Sebelum ini, tular di laman Threads menyaksikan video sekumpulan individu yang diterjah selepas dipercayai mencuri kabel di lorong belakang kawasan rumah kedai di TTDI.

Selepas tertangkap dan diterjah oleh beberapa saksi kejadian, kumpulan individu tersebut dengan segera melarikan diri menaiki beberapa buah kereta mewah, BMW.

“Oi, curi kabel ke? Kereta mahal-mahal curi kabel,” kata si perakam video.