PEKAN- Seorang lelaki diburu polis selepas video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbuatannya memecah masuk kediaman doktor gigi di kuarters Klinik Kesihatan Chini, di sini tular di sebuah akaun Facebook pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pihaknya juga telah menerima satu laporan polis berkaitan kejadian yang dibuat doktor gigi berusia 42 tahun itu pada Jumaat lalu.
Menurutnya, berdasarkan keterangan, kejadian berlaku ketika pengadu meninggalkan rumah berkenaan pada 19 Mac lalu untuk pulang ke kampung.
"Kejadian pecah masuk itu dikesan pada Jumaat kira-kira jam 12.48 pagi selepas penggera rumah berbunyi dan disedari jiran serta pengawal keselamatan.
"Suspek dipercayai masuk melalui siling rumah berdasarkan kesan siling pecah di bilik utama dan bilik ketiga," katanya.
Mohd Zaidi berkata, berdasarkan rakaman CCTV, suspek seorang lelaki memakai baju lengan panjang berwarna kelabu, seluar pendek coklat, berkasut dan memakai topeng.
Menurutnya lagi, kes masih dalam siasatan termasuk jumlah sebenar kerugian dialami mangsa.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
"Pemeriksaan telah dijalankan di tempat kejadian bagi mengumpul bukti-bukti fizikal yang berkaitan termasuk merakam percakapan saksi-saksi bagi membantu siasatan," ujarnya.
Jelasnya, usaha mengesan dan mengenal pasti suspek sedang dijalankan berdasarkan petunjuk rakaman CCTV dan keterangan di lokasi.
"Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai identiti suspek atau kejadian ini diminta tampil membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, maklumat boleh disalurkan melaluipegawai penyiasat di talian 012-7400527, Bilik Gerakan IPD Pekan di talian 09-4221222 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.



