Polis buru pembantu rumah curi barangan kemas majikan bernilai RM69,000

12 Sep 2022 • 4:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BUKIT MERTAJAM: Polis sedang mengesan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai mencuri barang kemas majikannya bernilai RM69,000 sebelum melarikan diri dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San, berkata wanita dikenali sebagai Eka Lestari, 27, itu baru bekerja di rumah majikannya tiga bulan lepas dan telah melarikan diri dengan turut membawa bersama pasportnya.

Katanya, majikan, seorang doktor, 33, menyedari pembantu rumahnya tiada di rumah pada jam 6 pagi pada hari kejadian dan membuat laporan polis berhubung kehilangan wanita itu.

“Namun dia dan isterinya tidak menyangka barangan kemas mereka turut dibawa lari bersama dan hanya menyedari pelbagai barangan kemas bernilai RM69,000 itu telah hilang dua hari kemudian ketika wanita itu (isteri) mahu menggunakannya pada hari tersebut sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan “ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tan berkata antara barangan kemas yang dibawa lari wanita itu ialah lebih 10 utas rantai, gelang, subang dan loket serta pemeriksaan mendapati suspek menggunakan kunci untuk membuka almari menyimpan barangan kemas tersebut kerana tiada kesan umpil di situ.

Beliau berkata polis percaya wanita itu masih berada dalam negara kerana tiada pergerakan keluar dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar menghubungi Inspektor Mohamad Suhaimi Ismail di 019-2909231 bagi membantu siasatan.-Bernama