Polis Buru Pesakit Mental Ceroboh Landasan LRT, Cuba Cabul Penumpang Wanita

29 Jul 2023 • 8:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tangkap layar video yang menunjukkan orang ramai cuma menghentikan perbuatan suspek - gambar Twitter

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental kini sedang diburu pihak berkuasa selepas cuba mencabul penumpang wanita dalam satu insiden di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Maluri, semalam. 

Jurucakap Rapid KL berkata, kejadian terbabit dipercayai berlaku pada jam 7.58 pagi apabila suspek secara melulu bertindak menceroboh landasan LRT menggunakan platform satu. 

Menurut beliau, suspek selepas berjaya memasuki ruang platform dua cuba mencabul mangsa yang sedang menunggu tren di kawasan tersebut. 

“Kejadian itu bagaimanapun disedari beberapa penumpang lelaki yang berjaya menghentikan perbuatan suspek, namun dia berjaya melarikan diri setelah bertindak agresif. 

“Dia sekali lagi bertindak menceroboh landasan pada jam 8.05 pagi dan mengetuk dinding tren yang kebetulan sedang berhenti di stesen,” katanya. 

Jelas jurucakap itu, mangsa dan saksi telah dibawa ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan. 

“Pasukan Polis Bantuan Prasarana dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan siasatan bagi membantu mengesan suspek sehingga dia berjaya ditangkap. 

“Rapid Rail amat kesal dengan kejadian ini dan tindakan segera telah diambil dengan menambah anggota polis bantuan di setiap stesen untuk meningkatkan kawalan keselamatan, bagi mengelakkan perkara yang sama berulang,’ katanya. 

Video insiden berkenaan turut tular di media sosial sejak semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin seperti dilaporkan Berita Harian berkata, satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti suspek. 

Jelas beliau, rakaman video insiden itu dikesan pihak polis sekitar jam 9 pagi hari ini, selepas ia dimuat naik di Twitter oleh akaun yang menggunakan nama @localrkyt.  

image is not available
Tangkap layar video kejadian yang sedang tular di media sosial - gambar Twitter

 "Rakaman berkenaan memaparkan seorang lelaki bangsa tidak pasti, melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di platform LRT, Stesen Maluri, Cheras. 

"Semakan mendapati, polis pada jam 8.49 pagi semalam telah menerima satu laporan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun susulan gangguan seksual berkenaan,” katanya. 

Zam Halim berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kegusaran awam. 

“Sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden diminta menghubungi polis di talian Hotline Polis Cheras 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. - Getaran, 29 Julai 2023