Polis buru suspek lastik pelancong China di Kota Kinabalu

11 Dec 2025 • 12:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Polis sedang giat mengesan individu yang melastik seorang pelancong wanita dari China di Jalan Kota Kinabalu Lama 2, berhampiran bangunan Public Bank, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden terbabit kira-kira jam 7 malam membabitkan pelancong berusia 31 tahun tersebut.

Beliau berkata siasatan mendapati mangsa sedang berjalan bersama suaminya apabila dia tiba-tiba terkena satu objek yang dipercayai dilastik dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada badannya sebelum membuat laporan polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan keselamatan orang lain,” katanya.

Beliau berkata polis memohon kerjasama sesiapa yang berada di lokasi kejadian ketika itu untuk tampil membantu siasatan.

Polis juga menggesa pemilik kenderaan yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka dan melalui Jalan Kota Kinabalu Lama 2 atau Jalan Pantai antara jam 6.45 malam hingga 7.15 malam pada hari kejadian untuk menyerahkan rakaman terbabit kepada pihak berkuasa.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Damian Frederick di 017-6561513 atau ke Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di 088-310208,” katanya.