Polis buru suspek pecah cermin kereta

LocalPolitics
19 Nov 2024 • 5:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar tular kes pecah cermin kereta dan curi barang di kawasan Dataran Sunway, Kota Damansara, di Petaling Jaya, pada Khamis lalu. Gambar kecil: Shahrulnizam

PETALING JAYA - Polis sedang mengesan suspek dipercayai terbabit kejadian pecah cermin kereta dan curi barang dalam kenderaan di kawasan Dataran Sunway, Kota Damansara, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kes itu pada jam 9.04 malam hingga 10.10 malam.

"Kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 7 malam hingga 8.30 malam. Barang-barang yang dicuri adalah dua unit komputer riba, satu unit tab, satu unit 'power bank, 'earbud', kad mesin juruwang automatik (ATM) bank dan dokumen peribadi, anggaran kerugian RM 4,500," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shahrulnizam berkata, kejadian itu juga dikesan tular pada Ahad yang dimuat naik oleh pemilik akaun X @update11111.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu dipohon untuk tampil bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222," katanya.