Polis buru tiga individu disyaki dera kanak-kanak lima tahun

29 Jul 2022 • 5:25 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SEREMBAN, 29 JULAI: Polis sedang mengesan seorang lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan berkaitan kes dera melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jempol, dipercayai sejak Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata mereka ialah R.Guna Silan, 42, K.Nagamah, 41 dan G.Nisha, 21, masing-masing beralamat di Taman Seri Mahsan, Jempol yang juga bapa dan ibu saudara serta sepupu mangsa.

“Mangsa dijaga oleh individu berkenaan dengan upah sebanyak RM300 sebulan kerana ibunya bekerja di Johor. Hasil siasatan mendapati terdapat kesan dera seperti melecur, lebam, parut dan kecederaan lain pada keseluruhan badan mangsa.

“Kejadian ini dipercayai bermula pada 26 Mei lepas sehingga mangsa diselamatkan oleh ibu saudaranya yang lain sebelum ibunya membuat laporan polis pada 10.54 pagi, Rabu lepas. Ketiga-tiga suspek dipercayai telah menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Jempol.

Hoo berkata polis telah menubuhkan pasukan khas untuk mengesan ketiga-tiga individu berkenaan bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved