Polis buru tiga lelaki larikan peti besi 100 kilogram

15 Jan 2026 • 8:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Polis memburu tiga lelaki yang melarikan peti besi 100 kilogram selepas pecah masuk rumah di Taman Hillview, menyebabkan kerugian RM2 juta.

AMPANG JAYA: Polis sedang memburu tiga lelaki yang dipercayai melarikan sebuah peti besi selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Hillview, Hulu Klang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian dianggarkan RM2 juta.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada hari kejadian, iaitu 26 Disember tahun lepas.

“Laporan polis dibuat pada 12.15 tengah hari oleh seorang pekerja di rumah itu selepas mendapati pintu belakang bahagian dapur rumah tercabut,” katanya dalam kenyataan.

Pekerja itu datang untuk mengecas bateri kereta elektrik milik majikannya.

Pemeriksaan mendapati sebuah peti besi telah hilang dari bilik tidur utama.

Polis kemudian mengesan rakaman video yang menunjukkan tiga suspek memikul peti besi itu pada 9.30 pagi semalam.

Rakaman CCTV berdurasi 38 saat itu memaparkan tiga lelaki bertopi memikul objek disyaki peti besi dianggarkan seberat 100 kilogram.

Khairul Anuar berkata polis telah menahan enam warga asing termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.

Namun soal siasat mendapati kesemua individu itu tidak terlibat dalam kes tersebut.

Beliau berkata polis kini giat mengesan suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.