Polis cedera ditikam di Pudu, suspek ada 14 rekod jenayah

LocalPolitics
31 Jul 2025 • 9:27 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Seorang anggota polis parah selepas ditikam oleh seorang lelaki ketika melakukan pemeriksaan dalam rondaan cegah jenayah berhampiran Pasar Pudu, Jalan Yew, Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Mangsa yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Balai Polis Pudu, ditikam di bahagian perut menggunakan pisau oleh suspek semasa menjalankan tugas bersama empat anggota lain, sebelum suspek melarikan diri.

Namun, suspek yang berusia 56 tahun itu berjaya diberkas tidak jauh dari lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati dia memiliki 14 rekod jenayah lampau, selain turut menyimpan tiga paket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah.

Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan polis | Kredit gambar: Media sosial

Senjata milik suspek | Kredit gambar: Media sosial

Baca juga:

Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, pihaknya turut merampas sebilah pisau daripada suspek dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan keadaannya dilaporkan stabil.

Mohamed Usuf turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, ASP Mohd Firdaus Sharil di talian 012-3388164, atau melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, IPD Wangsa Maju (03-9289 9222), atau mana-mana balai polis berhampiran.