
Kota Kinabalu: Seorang anggota polis dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada Rabu daripada tuduhan menyerang seorang lelaki tiga tahun lalu.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali membebas dan melepaskan Koperal Rizal Lee Abdullah tanpa perlu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Rizal, 36, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Jumaidi Juna pada jam 8.15 malam, 6 Oktober 2022 di tempat letak kereta kakitangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Pada 30 Jun 2023 Rizal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil lima orang saksi untuk memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis manakala Rizal diwakili peguam Amli Nohin.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda kerana menyalahgunakan wang tunai kecil majikannya.
Shamira Shanti mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana menggunakan secara tidak jujur wang tunai kecil berjumlah RM4,692.12 milik syarikat P&C Services Development Sdn Bhd untuk kegunaan sendiri di premis syarikat di Kolombong pada 1 Oktober tahun ini.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri memaklumkan mahkamah bahawa seorang pengurus akaun syarikat tersebut menemui kehilangan wang tunai kecil sebanyak RM4,692.12 bagi cawangan Inanam dan Kolombong semasa semakan akaun bulan September.
Selepas siasatan dalaman didapati Shamira telah menggunakan wang tersebut untuk kegunaannya sendiri tanpa pengetahuan syarikat sebelum laporan polis dibuat dan dia ditangkap.

