Polis Didakwa Bunuh Pelajar: Mahkamah Tetapkan 3 Hari Dengar Hujahan Pendakwaan, Pembelaan

LocalPolitics
14 Apr 2025 • 6:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar BERNAMA

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan tempoh tiga hari iaitu 16 hingga 18 Julai ini untuk mendengar hujahan bagi pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung kes pegawai kanan polis, Deputi Supritendan Mohd Nazri Abdul Razak yang dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dua tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nasrul Hadi Abdul Ghani ketika dihubungi berkata tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nazratul Natrah dalam prosiding secara Zoom atau secara dalam kamar ketika sebutan untuk pengurusan kes berkendan pagi tadi.

Pada prosiding hari ini, ia turut disertai TPR M. Mognaraj manakala peguam Aiman Hakim Kamaruzzaman selaku pihak pembelaan.

Pada 17 Januari lepas, Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan 14 April untuk sebutan semula kes melalui Zoom bagi menentukan tarikh hujahan lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan Mohd Nazri, 45, daripada pertuduhan atau diperintah untuk membela diri.

Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan. - BERNAMA