
KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak ketika menjalankan tugas rondaan di kawasan Simpang Pulai, Ipoh awal pagi tadi.
Kejadian pada jam 1.15 pagi itu turut membawa kepada penemuan mayat seorang wanita, di bahagian tempat duduk belakang kereta yang dipandu suspek.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku apabila sepasukan anggota polis dari Balai Polis Simpang Pulai ternampak kereta berkenaan di Taman Desa Pakatan.
Beliau berkata, pasukan terbabit cuba menahan kereta tersebut, namun suspek bertindak memecut laju.
“Anggota polis kemudian mengejar lelaki terlibat sebelum kenderaannya berhenti di kawasan ladang kelapa sawit.
“Berlaku pergelutan antara suspek dengan seorang anggota polis sebelum dia merampas senjata api mangsa dan melepaskan tembakan ke arah perut mangsa.
“Dalam insiden itu juga, suspek turut menikam mangsa di bahagian perut sebelum melarikan diri bersama senjata api terbabit,” katanya.
Noor Hisam berkata, anggota polis berusia 26 tahun itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan yang ditinggalkan suspek membawa kepada penemuan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang.
Identiti mangsa wanita itu bagaimanapun masih belum dikenal pasti.
“Mayat wanita tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB bagi tujuan pengecaman serta mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis kini giat mengesan suspek yang melarikan diri dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 012-2500019 bagi membantu siasatan.
“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya. - Getaran, 7 September 2025


