Polis Giat Buru Suspek Kes Penemuan Mayat Dalam Gaung

14 Jul 2025 • 12:13 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang, Tapah, pada Sabtu lalu sebagai kes bunuh.

Penemuan mayat dalam gaung

Menurut laporan Malaysia Gazette, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati mangsa meninggal dunia akibat dipukul dengan objek tumpul.

image is not available

Foto: Malaysia Gazette

“Hasil pemeriksaan forensik menunjukkan punca kematian adalah disebabkan ‘multiple blunt trauma’ yang dipercayai akibat pukulan menggunakan senjata tumpul.

“Mangsa juga mengalami kesan lebam dan luka lecet pada beberapa bahagian badan termasuk kepala, muka, dada, belakang badan serta kedua-dua tangan,” katanya.

Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring di bawah tebing berketinggian 15 meter, lengkap berpakaian kemeja-T dan berseluar pendek hitam.

Menurut Johari, polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

image is not available

Foto: Kosmo

Cap jari mangsa turut diambil bagi membantu proses pengecaman dan siasatan lanjut terhadap identiti sebenar mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang penemuan mayat tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di talian 05-4011222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: Malaysia Gazette (Nur Arina Asbar)