Polis Giatkan Usaha, Cuba Kenal Pasti Siapa Muhammad Imran Suresh – KPN

8 May 2024 • 2:05 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis sedang mengenal pasti pemilik akaun media sosial menggunakan nama ‘Muhammad Imran Suresh’ yang mendakwa memiliki maklumat berhubung kes pemain bola sepak, Faisal Halim yang disimbah asid pada Ahad lalu sehingga mengalami kecederaan lecur tahap empat.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata individu terbabit dicari bagi membantu siasatan kerana mendakwa mempunyai maklumat mengenai dalang perbuatan terhadap tonggak Selangor FC itu.

“Jadi, kita mahu kesan dia untuk melihat maklumat apa yang dia ada boleh membantu siasatan.

“Mana-mana individu yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan boleh tampil kepada polis, bukan mengeluarkan kenyataan sehingga boleh menjejaskan siasatan,” katanya hari ini.

image is not available

Foto: Utusan

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit dari pelbagai sudut, termasuk motif serangan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut, termasuk motif serangan. Kita juga sedang menyiasat sama ada suspek diupah orang tertentu.

“Justeru, kita mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” ujarnya lagi.

Razarudin turut memperingati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak betul yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

image is not available

Foto: Utusan

Terdahulu, seorang pemilik laman sosial Istagram telah mendakwa dia telah dipanggil polis bagi membantu siasatan kes melibatkan pemain berusia 26 tahun itu..

Pemilik akaun media sosial itu mendakwa mempunyai maklumat dan diminta menutup mulut mendedahkan mengenai kejadian sebenar yang menimpa pemain berkenaan.