Polis: Jalan berlubang di MRR2 Hulu Kelang menghala Ampang telah dibaik pulih

20 Dec 2023 • 9:02 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Jalan berlubang di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang menghala ke Ampang yang dikesan sejak semalam telah dibaik pulih pada 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata polis menerima pemakluman pada 8 malam tadi bahawa terdapat lubang berukuran satu meter di MRR2 Hulu Kelang menghala Ampang berdekatan stesen minyak Shell dan Petronas.

Beliau berkata susulan itu, beberapa anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya telah menyelia kawasan itu dan mengawal aliran trafik di sepanjang lorong selain meletakkan kon keselamatan bagi menghalang perkara yang tidak diingini berlaku.

“Pada 7 pagi tadi, tindakan pembaikan jalan mula dijalankan oleh kontraktor daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

“Laluan lorong tengah ditutup sementara untuk baik pulih keadaan jalan yang berlubang itu dan telah dikawal selia oleh pekerja JKR dan dipantau oleh anggota BSPT Ampang Jaya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam juga berkata setakat ini, tiada laporan diterima oleh pihak BSPT Ampang Jaya mengenai kemalangan yang melibatkan lubang itu. -Bernama