Polis Jepun Tahan Lelaki Didakwa Hasilkan Lebih 500,000 Gambar Lucah Selebriti Wanita Guna AI

WorldTechnology
21 Jan 2026 • 11:30 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), sesiapa sahaja boleh menyunting gambar dengan mudah dalam masa yang singkat. Tak perlu sebarang ilmu edit gambar pun!

Malangnya alat ini sering disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab, khususnya bagi menyunting gambar mangsa menjadi tidak senonoh, termasuk separa bogel.

Situasi ini menjadikan orang ramai berasa bimbang dengan penggunaan AI bagi niat jahat termasuk teknologi deepfake yang boleh mengubah gambar atau video palsu kelihatan benar.

Malah chatbot AI generatif, Grok, di aplikasi X turut disekat oleh kerajaan Malaysia atas perkara tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Disalah Guna Untuk Jana Kandungan Lucah, SKMM Sekat Sementara Akses Grok Di Malaysia

Lelaki Didakwa Hasil Lebih 500,000 Gambar Tak Senonoh

Pada 19 Januari lalu, polis Jepun telah menahan seorang lelaki atas dakwaan menghasilkan lebih 500,000 gambar tidak senonoh menyerupai beberapa selebriti wanita menggunakan AI generatif.

Memetik laporan media, jurucakap polis memaklumkan gambar yang dihasilkan itu telah dijual di dalam talian.

Lelaki Jepun yang merupakan seorang pengganggur itu, Tetsuro Chiba, didakwa “membenarkan penonton di internet melihat 14 fail imej elektromagnetik tidak senonoh dalam talian pada harga yang ditetapkan” antara Disember 2024 hingga Mei 2025.

Terima Lebih RM280,000 Pendapatan

Sehubungan itu, lelaki yang berusia 31 tahun dan tinggal di Sapporo itu telah ditahan oleh polis Tokyo “kerana disyaki memaparkan kandungan lucah” dalam talian.

Kyodo News melaporkan bahawa suspek dipercayai menghasilkan lebih 520,000 imej palsu deepfake bersifat seksual sekitar 300 selebriti dan menerima pendapatan kira-kira 11 juta Yen (RM282,554) dengan mempromosikan kandungan berkenaan di media sosial dan saluran lain.

Memetik laporan Jiji Press pula, lelaki itu telah memaklumkan kepada penyiasat bahawa dia “melakukannya untuk mendapatkan wang”.

Grok Disekat Di 3 Negara Asia Tenggara

Bermula 11 Januari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat akses kepada Grok buat pengguna di Malaysia untuk sementara waktu.

Langkah ini menjadikan Malaysia negara yang kedua selepas Indonesia yang menyekat akses rakyatnya terhadap Grok mulai semalam (10 Januari).

Pada minggu lalu, Filipina telah menjadi negara ketiga yang menyekat akses ke Grok.

Pengendali Grok, X berkata ia akan mengehadkan penghasilan dan penyuntingan imej buat pelanggan berbayar, dan akan menyekat fungsi itu di beberapa negara, lapor MalayMail.

View Original Article