
JOHOR BAHRU: Polis Johor mengatur gerak Pasukan Cantas bagi menjalankan pemantauan dan memastikan tiada kekacauan serta elemen gangsterisme berlaku sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata Pasukan Cantas yang melibatkan seramai 400 pegawai dan anggota itu, akan memastikan kelancaran khususnya semasa berlangsungnya tempoh berkempen kedua-dua PRK berkenaan.
Sehubungan itu beliau mengingatkan semua pihak khususnya calon dan penyokong parti politik agar berkempen secara berhemah dan bertoleransi, serta tidak menimbulkan kekacauan atau merosakkan bahan kempen parti lain.
“Menerusi pasukan ini, rondaan di kawasan berkempen akan dipertingkatkan bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Ini termasuk cubaan untuk melakukan kekacauan, menconteng bahan kempen, kain rentang dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Pada masa yang sama beliau meminta semua calon dan parti politik agar memohon permit polis terlebih dahulu sebelum mengadakan kempen dan ceramah yang akan bermula esok.
Kamarul Zaman turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyentuh isu-isu sensitif khususnya berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan raja, sepanjang tempoh berkempen termasuk di media sosial.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata beberapa jalan utama ditutup bermula 7 hingga 11 pagi esok bagi kelancaran proses penamaan calon PRK Parlimen Pulai yang berlangsung di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim, di sini, dan PRK DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan dekat Muar.
Justeru beliau meminta orang ramai agar mengelakkan daripada melalui Jalan Ayer Molek, Jalan Khalid Abdullah, Jalan Syed Mohamed Mufti dan Jalan Dato Onn, di sini, serta Jalan Arab di Muar.
Menurutnya seramai 3,500 pegawai dan anggota bertugas bagi memastikan kelancaran penamaan calon esok. -Bernama

