Polis Johor sahkan terima dua laporan terhadap Jocelyn Chia

14 Jun 2023 • 6:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jocelyn Chia

JOHOR BAHRU - Polis Johor sahkan ada menerima dua laporan polis berhubung tindakan pelawak Jocelyn Chia yang menghina dan memperlekehkan Malaysia dalam rancangan komedinya minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, permohonan Interpol sudah dibuat pada Selasa untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan suspek bagi membantu siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504/505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, Polis Johor akan terus menjalankan siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak memainkan isu berkenaan kerana ia boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

Ujarnya lagi, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian.

"Mereka boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selaran di talian 07-2182323 atau pegawai penyiasat Asisten Superintenden Akmal Halimah Rani di talian 0194346858," katanya.