JOHOR BAHRU – Polis Johor membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang mendakwa diasak sekumpulan individu berpakaian hitam sehingga berlaku sentuhan fizikal ketika menghadiri sebuah perhimpunan di bandar raya ini, pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 2.16 petang, Selasa daripada seorang wanita tempatan berusia 32 tahun.
Menurut beliau, mangsa mendakwa berlaku insiden diasak oleh sekumpulan individu berpakaian hitam sehingga tercetus sentuhan fizikal semasa berada dalam perhimpunan berkenaan.
“Perkara ini turut tular selepas mendapat liputan media dan beberapa rakaman video kejadian dimuat naik di media sosial,” katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.
Beliau berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan beberapa saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
Pada masa sama, polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999.
Sebelum itu, Kelab Media Johor (KMJ) dalam kenyataan melahirkan rasa kesal insiden kekecohan serta gangguan terhadap petugas media sewaktu membuat liputan ketika konvensyen Pakatan Harapan (PH) di bandar raya ini, Ahad lalu.
Menurut KMJ, insiden kekecohan itu berlaku ketika petugas media dari Johor dan Kuala Lumpur sedang menjalankan tugasan liputan serta cuba mendapatkan reaksi pimpinan parti berkenaan.
Susulan kejadian itu, KMJ memaklumkan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sentral Johor Bahru pada Selasa.






