
JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan 74 pelayan pelanggan (GRO) wanita warga asing disyaki bekerja tanpa permit sah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Stulang Laut di sini, kira-kira pukul 2.45 pagi, semalam (14 Jan).
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat (gambar) berkata GRO terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan Laos itu berusia dalam lingkungan 22 hingga 45 tahun.
“Turut ditahan tiga lagi individu iaitu seorang lelaki tempatan yang juga pengurus pusat hiburan, seorang perempuan tempatan iaitu juruwang dan seorang pelanggan lelaki tempatan yang masih dikehendaki mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata sepanjang Januari hingga Disember tahun lepas, polis Johor telah melakukan 602 serbuan ke atas premis pusat hiburan.
“Daripada serbuan itu, seramai 1,733 orang telah ditahan melibatkan 514 lelaki tempatan, 102 wanita tempatan, 143 lelaki warga asing dan 974 wanita warga tempatan.
“Jumlah rampasan adalah sebanyak RM104,445, serta 598 premis pusat hiburan telah dikenakan tindakan saman kerana kesalahan tiada lesan dan melanggar syarat operasi pusat hiburan,“ katanya. -Bernama

