Polis Kenalpasti Punca Kejadian Pukul Di Pusat Tahfiz, Dua Suspek Ditahan, 3 Masih Bebas

12 Aug 2022 • 10:46 PM MYT
Oh! Media
Oh! Media

Made in Malaysia by Malaysian.

image is not available

Kecoh di media sosial hari ini video memaparkan sekumpulan lelaki memukul tenaga pengajar serta pelajar di pusat tahfiz dekat Jalan Cheneras di Kuala Lipis Pahang.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor dalam laporan Sinar Harian berkata, kejadian dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap tenaga pengajar tersebut melibatkan pembayaran makanan di pusat tahfiz itu.

Kira-kira jam 5.10 petang pada Jumaat, satu kejadian pukul berlaku di pusat tahfiz tersebut di mana lima suspek telah pergi ke pusat terbabit dengan menaiki sebuah pikap jenis Isuzu Max warna perak.

Tiga suspek telah menyerang seorang ustaz berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit serta seorang pelajar berusia 11 tahun.

Kejadian telah menyebabkan seorang tenaga pengajar cedera di mata sebelah kanan dengan empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan. Manakala pelajar cedera di badan.

image is not available

Susulan kejadian, anggota Balai Polis Kuala Lipis telah menerima satu laporan daripada mangsa berusia 11 tahun pada jam 6.43 petang.

Pihaknya telah membuat satu serbuan di kawasan Damak, Jerantut dan berjaya menahan dua suspek. Manakala tiga orang suspek lagi masih bebas.

Namun, tiga suspek itu telah dikenal pasti dan tangkapan akan dibuat pihak polis secepat mungkin.

Menurut Azli lagi, kedua-dua suspek yang ditahan positif metaphetamine dan mereka memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua suspek yang merupakan pekerja bengkel kimpalan ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut.

Kredit: Sinar Harian

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh!Media.