Polis kesan lelaki bantu siasatan kes pukul pelanggan restoran

15 Jun 2026 • 9:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis kesan lelaki bantu siasatan kes pukul pelanggan restoran
Polis mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang pelanggan dipukul pada Jumaat.

SUNGAI BULOH – Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelanggan dipukul ketika sedang beratur untuk membeli sarapan di sebuah restoran di Bandar Seri Coalfields, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.20 pagi.

"Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang beratur untuk membeli sarapan sebelum tiba-tiba terbatuk sekali dan menutup mulut menggunakan tangan.

“Suspek yang memakai pelitup muka berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun telah menumbuk dagu kiri, menolak dan menampar pipi mangsa selain memaki hamun dengan kata-kata kesat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Hafiz berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengesan suspek yang terlibat.

"Individu yang disyaki terlibat diminta tampil memberikan kerjasama dengan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi dirakam percakapan untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Fariz Rizal Pilus di talian 011-15254018 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.