
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terbabit kes curi motosikal didalangi individu yang bekerja sebagai penarik kenderaan.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata lelaki berusia 29 tahun itu disyaki berperanan sebagai pembeli dan menjual komponen motosikal curi kepada pelanggan.
“Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai empat rekod kesalahan membabitkan kes jenayah dan dua kesalahan berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Ahmad Sukarno berkata suspek dikesan selepas pihaknya menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penarik kereta dan rakan sejenayahnya, kerana disyaki terbabit dalam kes curi motosikal di dua lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 17 Jan lepas.
Beliau berkata semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai penarik kenderaan itu aktif mencuri motosikal bersama tiga rakannya dikenali sebagai geng Alim sejak Ogos tahun lepas.
“Kita menahan dalang sindiket berusia 24 tahun bersama seorang lelaki berumur 30 tahun dan berjaya merampas dua motosikal, enam komponen dan sembilan rangka motosikal,” katanya.
Menurut Ahmad Sukarno, modus operandi sindiket terbabit adalah menyasarkan motosikal yang mempunyai tunggakan pembayaran dengan pihak bank sebelum meleraikan motosikal terbabit untuk dijual dan rangka motosikal dibuang ke kawasan semak.
Katanya, dengan penahanan itu pihaknya berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian yang dilaporkan di Kuala Kumpur dan satu di Selangor.
Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman sehingga semalam dan disambung reman bagi siasatan kes lain serta dua lagi individu sedang dikesan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dua lelaki dikenali sebagai geng Khoki Kumar ditahan kerana terbabit dalam kes samun hingga menyebabkan kecederaan di dua lokasi sekitar Lembah Klang pad 21 hingga 22 Jan lepas.
Ahmad Sukarno berkata semakan mendapati kedua-dua lelaki berusia 33 dan 39 tahun itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau.
“Dengan tangkapan ini, kita berjaya menyelesaikan dua kes samun di Selangor dan Kuala Lumpur dan dua kes curi kenderaan di Sentul,” katanya kedua-dua suspek diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan kes melibatkan daerah itu. -Bernama
