Polis kesan saksi, suspek terlibat pemerasan, terima suapan di Langkawi

31 Jan 2024 • 6:03 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

ALOR SETAR: Polis sedang mengesan saksi serta suspek dipercayai terlibat dalam kes didakwa memeras dan menerima suapan daripada warganegara asing di Pulau Langkawi seperti yang tular dalam media sosial TikTok, Isnin lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh (gambar) berkata satu rakaman video berdurasi satu minit 44 saat yang memaparkan seorang lelaki dan seorang wanita warganegara asing yang menaiki motosikal telah ditahan oleh penguat kuasa yang disyaki anggota polis.

“Mereka ditahan atas kesalahan lalu lintas iaitu tidak memakai topi keledar di kawasan Pulau Langkawi. Dalam rakaman itu, terdapat audio perbualan antara warga asing dan penguat kuasa berkenaan...warga asing itu telah ditawarkan untuk membayar saman sebanyak RM100 tanpa resit di tempat dia ditahan.

“Ekoran kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Pegawai Risikan/Operasi Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 384 kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sentiasa peka dan mengambil berat tentang salah laku pegawai dan anggota serta sentiasa bersikap profesional dalam memastikan ketelusan tindakan dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atas kejadian ini yang boleh mengganggu siasatan sebaliknya bersama membantu polis dalam membanteras dan mencecah jenayah dengan menyalurkan maklumat melalui talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. -Bernama