Polis kesan wanita warga emas terkait kes tipu pelaburan

LocalBusiness & Finance
25 May 2025 • 4:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hanyan (kanan) meminta orang ramai menyalurkan maklumat tentang wanita disyaki mempunyai kaitan dengan penipuan pelaburan.

SUNGAI PETANI – Polis sedang mengesan seorang wanita warga emas disyaki pesara kerajaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penipuan pelaburan ‘FX Trading’ mencecah ratusan ribu ringgit sejak lapan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, polis menerima tujuh laporan daripada mangsa yang mendakwa menyertai pelaburan itu sejak 2017 melalui seorang pesara dikenali sebagai Chak Gaik Choo berusia 60 tahun.

Menurutnya, mangsa dijanjikan pulangan antara lima hingga tujuh peratus daripada jumlah modal pelaburan berkenaan.

“Insiden penipuan pelaburan sejak 2017 itu membabitkan kerugian lebih RM604,000... terdapat tujuh laporan diterima daripada mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita yang membuat aduan telah ditipu dalam satu pelaburan,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati pelaburan yang didakwa sebenarnya tidak wujud.

“Mangsa tidak berpuas hati dan melaporkan kes itu kepada polis. Kita sedang mengesan keberadaan seorang wanita yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu pihak polis dalam siasatan kes terbabit.

Difahamkan, mangsa cuba menuntut semula wang pelaburan daripada wanita berkenaan namun ditangguhkan berkali-kali.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam melakukan sebarang transaksi mencurigakan kepada mana-mana pihak.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi IPD Kuala Muda di talian hotline 04-4299222,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.