Polis kesan Zamri, Tamim untuk hadapi pertuduhan

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 4:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kumar

PETALING JAYA - Polis sedang mengesan penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Tamim Dahri yang dipercayai berada di Thailand bagi membawa pulang mereka untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, usaha mengesan mereka turut melibatkan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

Menurutnya, kerjasama itu dilaksanakan melalui pegawai perhubungan keselamatan (SLO) PDRM yang ditempatkan di negara berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka dikesan keluar dari negara ini melalui jalan sah ke Thailand.

"Kita sedang menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi membawa pulang mereka untuk dituduh di mahkamah,” katanya pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan Zamri dan Tamim dipercayai berada di Thailand ketika siasatan terhadap mereka masih berjalan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya ketika satu perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Beliau berkata, arahan pertuduhan dicadangkan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam sehingga menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada orang ramai.

Selain itu, satu lagi siasatan terhadap Zamri berkaitan kenyataan yang didakwa berbaur penghinaan terhadap kaum India turut dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang.

Menurutnya, kes berkenaan dicadangkan untuk didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Dalam perkembangan sama, kertas siasatan terhadap Tamim pula telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Kedah.

Kes itu melibatkan dakwaan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci agama Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi, Kedah.

Menurut Mohd Khalid, kes tersebut dicadangkan untuk didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa mencemarkan tempat atau objek berkaitan agama.

Bagaimanapun, Zamri menerusi satu hantaran di media sosial menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melarikan diri susulan kontroversi yang mengaitkannya dengan tindakan menghasut keganasan.

Sebaliknya, beliau menegaskan tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

Menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu, Zamri berkata, beliau juga sedia bertemu Ketua Polis Negara bagi menjelaskan perkara tersebut.