
IPD Klang Utara lupus 34,120 barang kes termasuk pistol, senjata tajam dan peralatan bitcoin bernilai RM1.6 juta selepas kelulusan mahkamah.
KLANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara melupuskan lebih 34,000 barang kes bernilai kira-kira RM1.6 juta.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata pelupusan itu melibatkan 34,120 barang daripada 797 kertas siasatan jenayah dari 2017 hingga kini.
“Antara barang dilupuskan berkait dengan 2,945 kes perjudian, kontraban (28,493 kes), barang am (1,501 kes) dan bitcoin (1,181 kes) yang dirampas berkait jenayah serius termasuk bunuh, kekerasan dan samun bersenjata,” katanya.
Barang kes yang dilupuskan termasuk tiga pucuk pistol, ratusan senjata tajam serta puluhan ribu barangan perjudian, kontraban dan peralatan bitcoin.
Wang tunai berjumlah RM296,485.80 juga dilucutkan hak dalam operasi tersebut.
Mohd Rahimi menjelaskan pistol yang dilupuskan digunakan dalam kes samun bersenjata dan diklasifikasikan sebagai pistol kategori tier satu.
Senjata tajam seperti pisau dan parang pula digunakan dalam kes samun dan jenayah kekerasan lain.
Mesin bitcoin dilupuskan dengan dihancurkan secara manual bagi memastikannya tidak dapat digunakan semula.
Minuman keras dilupuskan melalui pengasingan cecair secara kimia dan kaedah pemeruapan manakala botol serta tin dikitar semula.
Rokok pula dimusnahkan melalui pembakaran di dalam kebuk pembakaran khas.
Proses pelupusan dijalankan oleh syarikat Pendamaran Jaya Motor di Pelabuhan Klang yang memiliki pensijilan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.
Syarikat itu juga mematuhi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Proses pelupusan disaksikan oleh Majistret Mahkamah Klang Haleez Hasnan bagi memastikan pematuhan tatacara perundangan.


