Polis Lakukan Siasatan Menyeluruh Kes Kematian Nour Rania Asyifaa

24 Jun 2022 • 8:10 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Yuseri mendakap jenazah anaknya Nour Rania sebelum dikebumikan. - Gambar fail Bernama

SEREMBAN - Polis Diraja Malaysia telah melengkapkan siasatan secara menyeluruh, berhubung kes kematian bayi perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan, ketika di bawah jagaan sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan di sini, Februari lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid berkata siasatan merangkumi keterangan saksi mahupun teknikal, dengan penggunaan kaedah forensik serta khidmat pakar patalogi dan kimia.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan Negeri Sembilan sehingga ke pihak Peguam Negara. Kes disiasat di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Arahan telah diberi oleh pihak Peguam Negara supaya inkues diadakan untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ruslan berkata kes untuk pendengaran inkues telah ditetapkan pada 29 Jun ini.

Media tempatan melaporkan isteri Pemangku Raja Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam menggesa kerajaan untuk menyiasat semula kes kematian ‘Baby Syifaa’. - Bernama