Polis Lepas Tembakan, Pasangan Rempuh ‘Roadblock’ Rupanya Suspek Curi Kenderaan Di Kuching

5 Jun 2023 • 2:22 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga

Polis Lepas Tembakan, Pasangan Rempuh ‘Roadblock’ Rupanya Suspek Curi Kenderaan Di Kuching. Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk menghentikan cubaan suspek disyaki kes curi kenderaan meloloskan diri dalam kejadian yang berlaku di Jalan Sibu-Bintulu, Mukah semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya mengesahkan berlaku kecurian kenderaan jenis Toyota Fortuner oleh beberapa individu tidak dikenali di Pasar Baru Tatau sekitar jam 1.09 pagi.

image is not available
Polis Lepas Tembakan, Pasangan Rempuh ‘Roadblock’ Rupanya Suspek Curi Kenderaan Di Kuching. Kredit: Borneo Post

Menurutnya, hasil maklumat diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau terserempak dengan tiga kenderaan jenis Toyota Fortuner dan Hilux serta sebuah Perodua Viva sekitar jam 3.04 pagi.

Ketiga-tiga kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan berada di kilometer (km) 82, Jalan Sibu-Bintulu Mukah.

“Ketika anggota cuba untuk menghampiri kenderaan itu, tiba-tiba kenderaan Toyota Hilux dan Fortuner memecut laju ke arah pasukan polis.

image is not available

“Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah hadapan dan tayar kedua-dua kenderaan itu untuk menghentikan tindakan dan kenderaan suspek, namun suspek berjaya loloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, kedua-dua kenderaan itu terus memecut laju dan merempuh sekatan jalan raya yang dilaksanakan oleh pasukan dari Balai Polis Selangau lebih kurang 300 meter dari tempat kejadian.

“Tindakan suspek itu juga hampir melanggar anggota yang bertugas dan pasukan polis terus mengejar suspek sebelum sebuah kenderaan iaitu Toyota Fortuner terbabas di tepi jalan.

image is not available

“Suspek itu bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan menaiki Toyota Hilux,” jelasnya sambil menambah, Toyota Fortuner yang terbabas telah dirampas dan disahkan bahawa kenderaan itu dicuri di Pasar Baru, Tatau.

Pada hari yang sama, Azman menjelaskan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Betong berjaya menangkap suspek lelaki tempatan berumur 38 tahun sekitar jam 1 petang.

“Lelaki berkenaan sedang mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Betong akibat terkena satu das tembakan di bahagian lengan kanan dan satu tembakan di bahagian pinggang sebelah kanan.

image is not available

“Turut ditangkap ialah seorang suspek wanita tempatan berumur 34 tahun,” tambahnya.

Hasil semakan katanya, suspek lelaki mempunyai 8 rekod kesalahan mencuri kenderaan, satu rekod kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan satu rekod kesalahan cuba membunuh orang.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan motor dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh orang,” tegasnya.

Baca lagi artikel menarik: